BERBISA, lantang, berani’ – Demikian ayat sesuai untuk menggambarkan keperibadian penerbit dan wartawan, Mazidul Akmal Sidek ketika mengendali pelbagai program di TV3, beberapa tahun lalu.
Tidak sekadar itu, bentuk tubuh fizikal gempal pengacara rancangan penyiasatan popular 360 ini juga berubah apabila berat badannya turun dengan mendadak.
Sebelum ini, Mazidul Akmal dilaporkan dalam keadaan agak tenat akibat serangan angin ahmar dan pernah berada dalam keadaan koma secara sementara.
Setelah tahun berganti tahun, perkembangan kesihatan Mazidul Akmal dilaporkan semakin beransur pulih dan yang paling membanggakan dia kini sudah mampu menulis dan berjalan kira-kira empat bulan lalu.
Prihatin dengan perkembangan positif Mazidul Akmal, Pertubuhan Bina Bangsa hari ini menganjurkan program ziarah ke atas bekas wartawan ternama itu di kediamannya di Kota Damansara, Selangor.
Menurut Penaung Pertubuhan Bina Bangsa, Datuk Khairul Anwar Rahmat, selain bertanya khabar, kunjungan juga bagi menghargai jasa dan sumbangan Mazidul Akmal dalam bidang media khususnya laporan bercorak penyiasatan.
“Kita adakan ziarah ini untuk erat silaturahim. Kita nak tujukan solidariti terhadap Mazidul. Pada masa sama, kita nak kenang unsung hero (wira tidak didendang) seperti Mazidul,” katanya ringkas.
Selain Khairul Anwar, Tan Sri Ismail Omar turut meluangkan masa melawat Mazidul Akmal meskipun bekas Ketua Polis Negara itu sebenarnya sedang deman.
Sementara itu, Mazidul, 50, yang ditemui meluahkan ucapan terima kasih atas keperihatinan orang ramai yang masih lagi menziarahinya hari ini.
“Hari ini, saya rasa seronok dan gembira sangat kawan-kawan dan sahabat saya datang ramai-ramai, saya ingatkan saya dah jadi kain buruk, rupanya tak.
“Lepas saya tidak kerja, hanya kenangan sahaja yang tinggal tentang apa yang saya buat selama ini.
“Apa pun, alhamdulilah saya kini boleh jalan sedikit demi sedikit guna tongkat dan dapat sokongan bagus dari ahli keluarga, kawan-kawan yang datang jenguk saya, itulah kekuatan yang saya ada.
“Saya juga baharu pulang dari menunaikan ibadah umrah pada Februari lalu, tak sangka saya boleh lakukan,” katanya dalam keadaan sebak.
Pada masa yang sama, Mazidul Akmal turut menyatakan keinginannya untuk kembali menulis dan melaporkan berita seperti dahulu, namun sedar akan kemampuan terhadnya kini.
Dalam pada itu, isterinya, Fazlin Kamarudin mengakui pada awalnya suaminya sukar menerima keadaan penyakit yang dialami itu, bagaimana dia kini bersyukur semuanya semakin baik.
“Dulu masa dia banyak di luar, kerana bekerja. Jadi apabila dia terlantar sakit, semangat dia hilang.
“Dulu bila dia koma, ayat pertama keluar dari mulut dia selepas bangun, ‘Mana kamera I? Tolong call Noh, assigment dah dekat ni. Esoknya pun cakap, saya dah lambat nak pergi kerja ini.
“Selama setahun, saya pulihkan kembali semangat dia. Selepas setahun, baru dia boleh terima keadaan dia macam ini.
“Selain terima rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur, kami juga turut menggunakan rawatan tradisional, dan sokongan keluarga.
“Alhamdulilah, dia kini sudah kembali mula menulis. Sampai penuh satu buku. Dia siap betulkan balik reporting yang dia tengok. Dia memang ada passion terhadap kerjaya wartawannya 100%,” katanya.
Hasil perkahwinan bersama Fazlin, 47, pasangan ini mempunyai dua cahaya mata iaitu Muhamad Afif Fariq, 19, dan Muhamad Azard Faez, 16.
Nama Mazidul Akmal mula terkenal menerusi rancangan Majalah 3, 999 dan 360 menerusi stesen TV3.
Dalam kunjungan ziarah itu, Persatuan Bina Bangsa turut mengumumkan akan mengadakan pertandingan esei untuk pelajar sekolah menengah atas nama Anugerah Mazidul Akmal Sidek – Pertubuhan Bina Bangsa.
Bagaimanapun, maklumat mengenai pertandingan itu akan dimaklumkan kemudian. – MYNEWSHUB.CC
Thanks for reading & sharing sila share artikel ini dengan klik button share di bawah suara marhean