Hormon adalah bahan kimia dalam tubuh dihasilkan oleh kelenjar dalam sistem endokrin dan pelbagai jenis hormon dirembes ke dalam darah sebelum diangkut oleh sistem peredaran darah ke organ dan tisu sasaran.
Bahan kimia khas ini mempengaruhi pelbagai proses berlainan dalam badan termasuk sistem reproduksi, fungsi seks, metabolisme, pertumbuhan dan perkembangan serta emosi. Contohnya, estrogen yang mengawal kitaran haid, kortisol yang bertindak balas dengan tekanan dan melatonin yang mencetuskan waktu tidur.
Tahap hormon berubah dan berkembang seiring dengan peningkatan usia. Hormon yang tidak seimbang akan menyebabkan gangguan atau perubahan pada kulit dan mood, pertambahan berat badan, tenaga serta keinginan seks yang rendah.
Oleh itu, kita boleh menyokong fungsi hormon untuk kesihatan dan kesejahteraan tubuh menerusi pemakanan seimbang dan aktiviti jasmani.
Namun, perkembangan dalam bidang perubatan membolehkan ubatan hormon dihasilkan untuk menggantikan hormon semula jadi dalam badan berikutan masalah kesihatan seseorang yang menyebabkan badannya sendiri tidak berupaya menghasikan hormon.
Ubatan hormon juga dijual meluas seperti dalam pil kontraseptif (perancang keluarga) yang digunakan sebagai kaedah mencegah kehamilan. Bagaimanapun, pengambilan pil perancang keluarga ini juga memberikan kesan sampingan seperti pembesaran saiz payudara dan punggung serta mencantikkan kulit.
Disebabkan itu, pil perancang keluarga sering disalah guna oleh golongan mak nyah untuk mempercepatkan proses transformasi daripada lelaki kepada wanita. Demikian dilakukan bekas mak nyah, Mohd Khariri Mohamad Ramli, 39, atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Erin untuk mengubah penampilan dirinya supaya kelihatan feminin.
Beliau yang bertugas sebagai guru di Klang, Selangor, menceritakan terpaksa menanggung pelbagai azab akibat kesan sampingan pengambilan pelbagai suntikan hormon wanita selepas berhenti menjadi mak nyah kira-kira empat tahun lalu.
“Saya mula mengambil ubatan hormon wanita iaitu pil perancang yang mudah didapati di gedung farmasi menjelang usia 18 tahun dalam usaha mengubah susuk badan. Kemudian daripada pil perancang, saya mengambil suntikan hormon di klinik swasta untuk hasil yang lebih baik.
“Terdesak untuk kekal dengan bentuk tubuh menawan seorang wanita mendorong saya mendapatkan hormon dari luar negara yang tidak mendapat kelulusan termasuk mengambil suntikan vitamin C. Saya mengambil kira-kira dua hingga tiga dos hormon wanita seminggu yang disuntik pada punggung dalam tempoh 17 tahun menjadi mak nyah,” katanya yang ditemui, baru-baru ini.
Cikgu Erin mendakwa kesan sampingan mula timbul selepas kira-kira tiga bulan berhenti menyuntik tubuhnya dengan hormon wanita.
“Pada bulan pertama dan kedua saya masih tidak mengalami sebarang perubahan, namun masuk bulan ketiga saya mula mendapati kelainan apabila sering berpeluh dingin, keletihan dan kekejangan otot.
“Malah, saya juga mengalami kemurungan kerana badan tidak lagi cantik seperti dulu. Selera makan juga bertambah apabila sering makan berulang kali dengan kuantiti yang banyak. Pada bulan kelima, berat badan saya bertambah sehingga mencecah 120 kilogram (kg).
“Disebabkan berat badan bertambah, saya juga hampir mendapat penyakit tekanan darah tinggi. Selain itu, perasaan rendah diri dan malu dengan bentuk tubuh yang besar menyebabkan saya kerap memakai jubah longgar,” katanya.
Bagaimanapun, Cikgu Erin enggan membiarkan tahap kesihatannya kian menurun dan mula melakukan rejim penjagaan kesihatan yang ketat seperti senaman, angkat berat dan mengawal pengambilan makanan.
“Saya melakukannya juga untuk mengembalikan semula imej lelaki sesuai dengan penghijrahan daripada seorang mak nyah dan kerjaya sebagai guru sekarang. Tambah lagi, saya juga aktif dalam kerja amal apabila menubuhkan Persatuan Kebajikan Darul Modahish dan sukarelawan kepada Pertubuhan Menangani Masalah Sosial Malaysia (UNGGAS) yang memerlukan saya sentiasa cergas.
“Selepas tiga bulan berusaha termasuk mengurangkan berat badan dengan bantuan makanan kesihatan Jus Mate 5 keluaran Rozmey Group (RG), berat saya kini 70kg dan saya masih berusaha untuk mengekalkan tahap kesihatan,” katanya yang baru dilantik menjadi duta produk kesihatan berkenaan.
Menceritakan jadual penjagaan kesihatannya, Cikgu Erin berkata, beliau mengambil produk berkenaan seawal Subuh sebelum ke masjid dan bersarapan tiga telur rebus atau separuh masak bersama dua keping roti gandum, jam 7.30 pagi.
“Jam 8 pagi saya ke pusat kecergasan di Klang untuk berlari atas mesin treadmill sejauh lapan kilometer dan angkat berat selama dua jam. Saya makan tengah hari hanya sayuran dan ikan sebelum masuk mengajar pada sesi persekolahan petang dari jam 1 tengah hari hingga 6.30 petang.
“Kemudian saya menyertai kelas zumba pada jam 8 malam untuk kira-kira sejam sebelum makan malam dengan hanya mengambil segelas susu dan dua keping roti gandum. Namun, saya mengamalkan minum air masak lima liter sehari supaya tidak terhidrat akibat melakukan banyak pergerakan.
“Saya turut mendokumentasikan daripada awal proses mengurangkan berat badan dengan memuat turun gambar dan catatan ke Facebook dengan akaun Cikgu Erin (Cikgu Mohd Khariri) untuk memberi motivasi kepada orang lain yang mempunyai masalah berat badan,” katanya.
Thanks for reading & sharing sila share artikel ini dengan klik button share di bawah suara marhean