Jujur bicaranya melontar dogma kata. Andai meredut atau mengecilkan hati sesiapa, Elizabeth Tan tidak segan-segan meminta maaf.
Kunci utamanya adalah toleransi. Biar kabut datang menyapa, kata penyanyi popular lagu Knock Knock itu, pokok pangkal apa yang berlaku kerana kurang sabar dan gagal berkomunikasi dengan baik.
“Pada saya, semua yang berlaku adalah salah faham dan kegagalan dalam berkomunikasi. Bekerja dalam persekitaran Melayu, saya mempunyai ramai kawan Melayu yang menghormati dan tidak membenci kaum Cina. Begitu juga Cina yang tidak membenci Melayu. Namun, saya juga tidak menolak ada segelintir yang bersikap perkauman,” luah Elizabeth yang melontar buah pandangan mengenai kejadian pergaduhan, membabitkan pemandu Cina dan warga surau di Austin Perdana, Taman Setia Indah, Johor Bahru, pada minggu lalu itu.
Membelah samudera rasa, penyanyi tinggi lampai itu mendedahkan, keperibadian Melayu sentiasa memikat hatinya. Maka tidak hairan, kebanyakan bekas teman lelakinya terdiri daripada orang Melayu.
“Apa yang saya suka daripada orang Melayu ini, kalau mereka sayang seseorang itu, mereka akan meletakkan orang yang disayangi itu sebagai keutamaan. Lagi satu, kenapa saya lebih suka lelaki Melayu kerana mereka kelakar,” ujar penyanyi berusia 24 tahun itu berterus-terang.
Biarpun baru putus cinta dengan lelaki Melayu, namun artis jelita ini tidak akan serik untuk mengulanginya.
Tidak serik
Ironinya, hubungan dengan jejaka Melayu ibarat pepatah disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Dua minggu lalu, hubungan Elizabeth dengan jejaka Melayu yang merupakan seorang ahli perniagaan menemui tanda noktah.
“Walaupun dekat media, saya cakap diri single dan hanya berkawan rapat dengan seseorang, tetapi peminat setia tahu saya sedang bersama seseorang. Saya baru putus dengan dia dua minggu lepas. Kami sempat bercinta cuma empat bulan.
“Kami putus sebab banyak isu yang berlaku sepanjang bersama. Pada masa sama, sepanjang empat bulan bercinta saya belajar banyak benda,” ujarnya yang terpaksa merahsiakan hubungan dengan lelaki itu selama ini kerana menghormati diri dan keluarga lelaki itu.
Malangnya, perbuatannya itu tanpa sedar telah membelakangkan keluarganya sendiri demi mengejar cinta seorang lelaki.
Waima keluarga tidak pernah melarangnya untuk bercinta dengan jejaka Melayu, namun mereka mahu pastikan lelaki yang dicintai Elizabeth boleh membahagiakannya dan mempunyai kewangan stabil.
Bagaimanapun, Elizabeth mengaku, dari segi agama memang agak sensitif sebab kedua-dua ibu bapanya orang kuat agama Kristian Protestan.
Tidak sebal dengan apa yang terjadi, pemilik nama sebenar Elizabeth Tan Su Mei itu tetap tidak serik bercinta dengan jejaka Melayu selepas ini.
“Saya memang suka lelaki Melayu sejak di bangku sekolah lagi. Tetapi dia (lelaki yang baru putus cinta dengannya dua minggu lalu), satu-satunya lelaki yang saya sudah bawa jumpa keluarga. Saya sangat menyayanginya dan hubungan kami memang serius ketika itu. Sayangnya tidak berpanjangan,” getusnya yang enggan berkongsi lanjut apa punca perpisahan tersebut.
Elizabeth mengakui menyukai lelaki Melayu sejak di bangku sekolah lagi.
Aaron Aziz
Dua bulan menyepikan diri daripada dunia hiburan kerana kemelut bersama bekas kekasih, Elizabeth yang lebih mesra disapa Lizzy itu kembali ke arena seni dengan sebuah drama baharu, My Darling Inspector Daniel terbitan syarikat Skop Production Sdn. Bhd. Dalam drama yang bakal disiarkan di saluran Astro itu, Elizabeth memegang peranan utama di samping aktor Aaron Aziz.
“Ini kali kedua saya ditawarkan berlakon selepas filem Usop Wilcha: Menghonjang Makhluk Muzium.
“Terkejut juga bila ditawarkan berlakon sedangkan saya tidak pergi ke sesi uji bakat kedua-dua karya tersebut. Namun, saya bersyukur dengan rezeki lakonan ini kerana saya memang suka berlakon.
“Kalau boleh selepas ini saya nak fokus lebih pada bidang lakonan,” ujarnya yang tidak akan mengabaikan dunia nyanyian.
Tidak lama lagi, penyanyi lagu Setia itu bakal mengeluarkan single keempatnya. Masih belum mempunyai judul, namun kongsi Elizabeth, single itu nanti berentak rock dan balada.
Selain berlakon dan menyanyi, penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi laman YouTube itu memberikan tempoh lima tahun pada diri untuk mempunyai program bual bicara sendiri pada satu hari kelak.
kosmo online
Thanks for reading & sharing sila share artikel ini dengan klik button share di bawah suara marhean