Dari Kisah Rumah Tangga
Admin, ini akaun fake. Tak sanggup nak guna akaun sebenar. Tak mampu jika ada orang tahu tentang aib yang berlaku dalam keluarga saya sendiri. Semasa saya menulis ini, sudah tiga bulan saya dan isteri tinggal berasingan dari ibu saya.
Saya berkahwin dengan isteri sejak 6 tahun yang lalu. Dia adalah wanita pilihan ayah saya. Isteri saya tidak pernah bersekolah sejak kecil. Ayahnya orang Cina (driver lori balak) dan ibunya pula Orang Asli. Mertua tidak berkahwin.
Isteri saya didera oleh neneknya sejak dari kecil. Kemudian dijaga dan dibesarkan serta bekerja di gerai makan milik bapa saudara sebelah ibunya yang sudah berkahwin dan beragama Islam, tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam yang sepenuhnya.
Ayah saya berkenan pada isteri ketika dia menyertai lawatan ke penempatan Orang Asli. Dia mahu gadis itu dijodohkan dengan saya, katanya mahu menambah umat Nabi Muhammad dan kasihan melihat bakal isteri bekerja seperti kuli dalam keadaan yang tidak terurus. Ketika itu, isteri belum mencapai usia 20 tahun. Ayah ingin bebaskan dia dari kehidupan yang daif. Tambahan pula ketika itu saya baru saja putus pertunangan yang dimeterai hampir tiga tahun.
Oleh kerana hati yang lara, saya terima saja memandangkan bakal isteri cantik, campuran Cina dengan Orang Asli. Cuma dia tidak tahu membaca, apatah lagi menulis, tidak tahu tentang dunia, media sosial apa semua pun tak pernah tahu. Isteri saya tiada agama, tiada didikan agama sehinggalah dia berkahwin dengan saya, dengan nama indah yang dipilih saya sendiri.
Tetapi itu bukanlah isunya. Hasrat ayah disambut baik oleh ibu dan ibu setuju serta memberi harapan agar perkahwinan dipercepatkan. Ibu meminta saya dan isteri tinggal bersama dengannya agar ibu dapat dekatkan isteri dengan agama. Lagipun ibu sunyi di rumah dengan ayah yang bergilir ke rumah isteri lain dan juga kerap out station. Adik pula masih belajar di IPT.
Awal perkahwinan, kami keluarga yang bahagia. Ibu mengajar isteri solat/mengaji dan saya mengajarnya menulis dan membaca.walaupun kadang-kadang terasa jerih kerana dia amat sukar untuk memahami apa yang diajar. Lidah yang tidak pernah membaca, masakan mudah untuk mengaji dan solat. Walaupun bacaannya tidak lancar, saya selalu menjadi imam buatnya di waktu malam. Lebih banyak dia mengikut saja pergerakan saya dari membaca bacaannya sendiri.
Makan tahun untuk mengajar isteri, akhirnya dia mampu solat dan mengaji sendiri walau ketika dia mengaji saya selalu ketawa sendiri kerana cara bacaannya seperti kanak-kanak. Sesungguhnya Allah sentiasa menduga hamba-hambaNya. Setiap suka, tentu ada dukanya.
12 Januari 2017 yang lalu, saya ternampak kesan berbirat di kaki kanan isteri lalu saya tanya kenapa. Katanya, dia terlanggar bucu katil.
17 Januari 2017, ada kesan lebam besar di lengan sebelah kanan. Saya menjadi semakin hairan tetapi bila ditanya, isteri kata dia terlanggar meja pula.
Dan yang menjadi semakin hairan, isteri semakin pendiam dan tidak banyak berbual. Dia lebih banyak menyendiri di dalam bilik walaupun sewaktu saya ada di rumah. Sesekali dia duduk berkumpul bersama. Selepas menyiapkan kerja rumah, dia kemudian masuk ke bilik tidur. Saya mati punca, tidak tahu kenapa. Tetapi bila ditanya, katanya tiada apa-apa. Saya sangat buntu pada minggu itu. Bila tanya ibu, ibu cakap tiada apa-apa.
Saya mohon kepada Allah, sesungguhnya tunjukkanlah saya jalan apa yang perlu saya buat.
24 Januari 2017, isteri ada kesan lebam di dua tiga tempat belakang badannya. Tiada cara lain untuk tahu kenapa isteri jadi begitu, saya berkongsi cerita dengan kawan baik. Katanya, "Camera will never lied to you".
Memandangkan dia seorang cyclist, dia pinjamkan saya goPro miliknya untuk digunakan di rumah.
"Letakkan di tempat paling tinggi, keseluruhan ruang akan nampak. Rekod hanya mampu selama 15 minit untuk setiap video tetapi jumlah rakaman selama 12 jam," katanya.
*kawan, jasamu takkan pernah aku lupa.
Jam 6 pagi subuh keesokan harinya, saya letak GoPro senyap-senyap di atas kabinet pinggan hiasan ibu. Jelas nampak seluruh ruang tamu dan sedikit ruang dapur, dengan harapan Allah tunjukkanlah saya bukti.
25 Januari 2017, saya bawa GoPro itu ke pejabat. Ketika itu bateri sudah habis, maka saya perlu transfer data rakaman ke laptop untuk melihat rakaman video yang telah dirakam. Saya tak sabar menunggu waktu rehat, supaya saya boleh melihat dengan tenang. Sebelum saya membuka rakaman, saya berdoa pada Allah tunjukkanlah saya jalan yang terbaik.
Saya mainkan satu rakaman demi satu. Kelihatan ibu keluar mengajar kelas Al-Quran jam 8 pagi untuk ke madrasah. Sejurus itu kelihatan isteri saya keluar dari bilik untuk mengemas rumah, memasak di dapur untuk seketika. Tiada apa yang pelik berlaku.
Namun jam 11.25 pagi, ketika ibu pulang dari mengajar, isteri yang sedang menyapu di ruang tamu tidak semena-mena ketika ibu melintasi isteri di ruang tamu, ibu tarik rambut isteri dari belakang lalu dihumban kepala isteri ke lantai. Saya tergamam! Betulkah apa yang saya lihat ini? Saya ulang sekali lagi, ulang dan ulang. Ketika saya melihat video itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya.
Jelas dalam rakaman itu, isteri saya sakit dan ketakutan membetulkan rambutnya. Ibu datang semula dengan cepat dan ambil penyapu yang jatuh kemudian dilibas belakang badan isteri. Tangan dihayun selaju-lajunya. Isteri saya menahan penyapu dari terus memukul badannya. Tetapi ibu libas lagi sebelum hempas penyapu ke badan isteri.
Ketika saya menulis ini, saya masih lagi tidak mampu mengawal perasaan, menangis dalam hati saya mengingatkan apa yang isteri saya lalui. Saya tidak mampu menonton rakaman yang lain, terus tutup laptop. Saya menangis di meja semahu-mahunya sambil mengenangkan isteri.
Isteri saya tidak pandai dalam serbia-serbi, tidak pandai membaca, menulis dan bercakap pun masih tergagap-gagap. Dia juga takut berhadapan dengan orang yang tidak dikenali, tidak pernah mahu mengikut ke majlis keramaian kerana malu diperhatikan.
Saya berkahwin dan membawa dia tinggal bersama dengan ibu dengan harapan dapat merubah dia dari kehidupannya sebelum ini. Dia didera nenek dan bapa saudaranya, dicabul sepupu dan tiada siapa yang membela nasibnya sejak dari kecil lagi. Sehinggalah dia berkahwin dengan saya.
Saya dengan penuh bangga dan mendabik dada kononnya saya telah menjadi penyelamat kepada isteri dari kehidupan yang malang. Hakikatnya tanpa saya tahu, tiada bezanya kini dengan kehidupan yang lama dan yang lebih menyakitkan ialah orang yang paling saya sanjung sejak dari kecil, yang paling saya sayang, yang saya dahulukan dalam semua hal telah melukakan hati saya serta isteri yang saya amat cintai.
Saya kemaskan barang-barang di office dan beritahu kawan-kawan yang saya ada masalah kecemasan dan terpaksa pulang segera. Saya offiday. Sepanjang perjalanan pulang, saya menangis.http://www.nescafetarik.com
Thanks for reading & sharing sila share artikel ini dengan klik button share di bawah suara marhean