PELABUHAN KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia bercadang meminda Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 bagi menaikkan denda minimum kepada RM100,000 bagi kesalahan berkaitan rokok atau minuman keras yang belum diluluskan jabatan itu.
Ketua Pengarah Kastam Datuk T. Subromaniam berkata ia mencakupi kesalahan seperti menyimpan, mengangkut, mengedar, menyorok, memiliki dan menjual bahan berkenaan.
Beliau berkata cadangan pindaan itu dijangka dibawa ke Parlimen pada Julai ini.
"Ia adalah sebahagian daripada langkah drastik Jabatan Kastam untuk menangani kes penyeludupan rokok dan minuman keras di negara ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya apabila disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada RM100,000 atau 10 kali nilai duti atau cukai atau mana yang lebih tinggi.
Pada masa ini, pesalah dikenakan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barang rampasan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Subromaniam berkata pihaknya merampas empat kontena mengandungi 32.7 juta batang rokok dan 18,240 tin arak kerana gagal mengemukakan lesen import di Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini dua hari lepas.
Siasatan awal mendapati muatan rokok dan arak itu, yang masing-masing bernilai RM2.616 juta dan RM30,096 itu, dipercayai dari negara jiran dan menjadikan Pelabuhan Barat sebagai transit.
Tiada tangkapan dibuat berhubung kes itu, katanya sambil memberitahu bahawa ia adalah kes pertama membabitkan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang dikuat kuasakan pada 1 April lepas. - Bernama
Thanks for reading & sharing sila share artikel ini dengan klik button share di bawah suara marhean