PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengarahkan Jawatankuasa Integriti dan Persatuan Pengadil menyiasat pegawai perlawanan yang membuat keputusan meragukan dalam aksi Liga Malaysia (Liga-M) dan menyelesaikannya dengan segera.
"Jika jelas individu terbabit (pengadil) gagal mengadili perlawanan dengan baik, hukuman akan dikenakan dan pengadil tersebut harus direhatkan tetapi jika disabit kesalahan kerana unsur rasuah, pengadil itu harus digantung seumur hidup.
"Saya telah beri semua nama dan butiran pengadil bersama mereka yang bertugas dalam FAM kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) supaya pihak berkuasa boleh memantau dan memastikan tiada rasuah dalam FAM," jelas Tunku Ismail.
Pada masa sama, Tunku Ismail menasihatkan semua penyokong supaya bersikap profesional serta terbuka dalam menerima sesuatu isu yang melibatkan pasukan mereka, dan bukannya meletakkan segala kesalahan kepada FAM.
"Saya ingin bertanya jika Perak mendapat penalti pada saat akhir menentang T-Team, adakah salah saya? JDT dapat penalti, adakah salah saya? Sebab saya presiden dan saya orang Johor?," soal Tunku Ismail.
Sebagai Presiden FAM, Tunku Ismail berkata keutamaannya adalah membantu pasukan kebangsaan, memastikan bola sepak tidak digunakan untuk agenda politik dan membasmi rasuah dalam sukan itu.
Namun jika penyokong merasakannya bukan individu yang sesuai, Tunku Ismail sedia diganti.
"Sesetengah penyokong sengaja menimbulkan isu ini seolah-olah saya ingin membantu Johor Darul Ta'zim (JDT). Kalau anda (penyokong) ataupun ada pihak yang ingin membangkitkan isu mengenai keputusan pengadil, FAM akan menayangkan semula video dan semua orang boleh menilainya sendiri.
"Ia bukan satu masalah yang besar, jika anda (penyokong) masih rasa kurang senang dengan saya sebagai Presiden FAM, anda boleh menyeru ahli gabungan masing-masing untuk mengadakan kongres dan melantik presiden baru," tegas Tunku Ismail. - Bernama
Thanks for reading & sharing sila share artikel ini dengan klik button share di bawah suara marhean