JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia kini dilaporkan dalam keadaan dilema menerima kehadiran VietJet Air yang berhasrat terbang ke pelbagai destinasi utama di negara terbesar Asia tenggara itu.
Ini bukan kerana bimbang isu monopoli laluan oleh operator udara kos rendah antarabangsa Vietnam ke Indonesia yang ketika ini tiada penerbangan terus antara dua negara berkenaan tetapi lebih kepada isu pakaian pramugarinya.
Akhbar berpengaruh KOMPAS melaporkan, Kementerian Perhubungan sedang meneliti isu pakaian seksi pramugari VietJet Air yang berbikini ekoran pengumuman syarikat itu mahu mendarat di beberapa destinasi di Indonesia.
Menterinya, Budi Karya Sumadi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima permohonan secara rasmi daripada VietJet Air dan sedia berbincang dengan Jawatankuasa Dasar Awam di peringkat Parlimen mengenai isu bikini itu.
“Penetapan busana pramugari bukan di bawah bidang kuasa kementerian tetapi kami pasti melakukan sesuatu dengan berhati-hati kerana masyarakat Indonesia ada norma tertentu,” ujarnya di pejabatnya di sini semalam.
Budi Karya menegaskan, pihaknya boleh meminta syarikat penerbangan asing yang terbang ke Indonesia agar selalu memelihara kesopanan pakaian pramugarinya sejajar dengan budaya asli Indonesia tanpa mencetuskan polemik.
“Saya akan pertahan budaya Indonesia. Bahagian ini kami tetap pelihara,” kata bekas Pengarah Urusan PT Angkasa Pura II, penguasa lapangan terbang di Indonesia itu dan mengesahkan pihak VietJet Air tidak menemuinya pun.
Ketua Bahagian Kerjasama dan Hubungan Masyarakat Direktorat Jeneral Perhubungan Udara Kementerian, Agoes Soebagio dalam pada itu menyatakan, syarikat asing perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa negara asalnya.
Justeru VietJet Air kena menyertakan persetujuan daripada pemerintah Vietnam sebelum terbang ke Indonesia dan kelulusan tidak diberikan serta-merta kecuali berjaya memenuhi segala peraturan ditetapkan kementerian tersebut.
“Jadi kami buat penilaian terlebih dahulu seperti keizinan laluan dan teknikal operasi. Kalau semua syarat dipenuhi, baharulah mendapatkan kebenaran, tetapi kalau belum waima satu perkara, pun tetap belum dapat izin,” jelasnya.
VietJet Air yang ditubuhkan sejak 2011 dengan memiliki 38 buah pesawat buat masa ini terbang ke 53 destinasi antarabangsa termasuk China, Korea Selatan, Macau, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Myanmar dan Singapura.
Tahun lalu, syarikat dimiliki bilionaire wanita terkaya di Vietnam, Nguyễn Thị Phương Thảo itu terbang ulang alik setiap hari ke Kuala Lumpur, Malaysia tanpa masalah setelah isu pakaian pramugarinya diselesaikan secara baik.
Ini menyaksikan krew wanitanya tidak mengenakan bikini sebaliknya berseluar pendek dan kemeja lengan pendek berbanding pramugari syarikat penerbangan kebangsaan Vietnam Airlines yang memakai busana tradisional ao dai.
Foto memaparkan petugas seksi berbikini yang menjadi tular di seluruh dunia pada tahun lalu itu sebenarnya hanya melibatkan beberapa penerbangan sewa khas VietJet Air terutama destinasi tertentu di Vietnam dan China.
Operator udara itu kini menguasai 40 peratus daripada pasaran penerbangan di Vietnam dan turut merancang untuk membeli lagi 197 buah pesawat baharu bagi meluaskan perkhidmatannya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Thanks for reading & sharing sila share artikel ini dengan klik button share di bawah suara marhean