10 MAY 2017 (RABU)
TAMPIN – Bukan hanya tak mahu bernikah dan bekerja, malah seorang lelaki berusia 33 tahun sanggup memaksa seorang wanita yang didakwa sebagai isterinya, serta anak yang tidak sah taraf, mengemis di sebuah institusi perbankan di Seremban 2, sejak setahun lalu.
Nasib malang wanita berusia 38 tahun itu hanya diketahui apabila dia bersama anak lelakinya berusia lima tahun diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di hadapan sebuah institusi perbankan di Tampin, 4 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superitendan Hamazah Ab Razak berkata, dalam kejadian kira-kira 10.50 pagi itu, JKM telah menerima aduan daripada Pejabat Agama Islam Daerah Tampin terdapat dua beranak mengemis di hadapan institusi perbankan di bandar berkenaan.
“Hasil operasi dijalankan JKM telah membongkar kehidupan wanita berkenaan yang dipaksa untuk mengemis. Bagi mengelakkan wanita berkenaan melarikan diri, seorang lagi anak perempuannya berusia tiga tahun berada dalam jagaan lelaki berkenaan sebagai cagaran.
“Wanita berkenaan membuat laporan polis kira-kira jam 7.55 malam semalam (kelmarin). Polis telah menjalankan usaha mengesan suspek. Suspek akhirnya berjaya ditangkap polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin (IPD) Tampin di Palong, Gemas, kira-kira jam 4.30 petang tadi (semalam),” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Walkabout IPD Tampin di Tampin Square, di sini, semalam.
Hamazah berkata, hasil siasatan mendapati wanita berkenaan telah dibuang keluarga sejak enam tahun lalu susulan hubungannya dengan suspek tidak direstui.
Menurutnya, wanita berkenaan telah bersekedudukan dengan lelaki berkenaan selama enam tahun serta mempunyai tiga orang anak berusia lima dan tiga tahun di bawah jagaan mereka. Manakala, anak bongsu berusia setahun diberikan kepada orang lain sebagai anak angkat.
“Sepanjang tempoh berkenaan, mereka tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap dan sudah empat tahun tinggal di surau sebuah hospital di Seremban. Kedua-duanya tidak bekerja dan hanya bergantung kepada wang bantuan Baitulmal yang diterima wanita berkenaan sebanyak RM250 sebulan.
“Sebaik wang berkenaan habis, suspek akan memaksa wanita berkenaan mengemis di Seremban 2. Pada 3 Mei lalu, mereka datang ke Tampin dan tidak mempunyai wang untuk pulang ke Seremban. Mereka telah bermalam di sebuah masjid di sini (Tampin).
Hamazah berkata, keesokan harinya, kedua beranak berkenaan pertama kali dipaksa mengemis di Tampin bagi mendapatkan wang untuk makan serta pulang ke Seremban.
Beliau berkata, kedua-duanya kini ditempatkan di Rumah Sri Kenangan Cheng, manakala anak lelakinya berusia lima tahun dimasukkan ke Hospital Tampin bagi pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 13 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Copy by :SINAR
Thanks for reading & sharing sila share artikel ini dengan klik button share di bawah suara marhean