Mufti Perlis hari ini meneruskan kritikannya terhadap seorang bomoh sambil turut menempelak seorang wanita yang disifatkan sebagai mempunyai keupayaan akal yang dangkal.
Datuk Dr Asri Zainul Abidin pernah menyasarkan kritikan kepada 'Raja Bomoh' Ibrahim Mat Zin sebelum ini manakala wanita yang dimaksudkan beliau dipercayai adalah peguam yang juga aktivis liberal, Siti Kassim.
"Dukacita apabila media mengutip berita 'bomoh' yang penuh khurafat dan memalukan masyarakat bertamadun, dan seorang wanita dangkal minda yang entah apa latarnya.
"Seorang membuat 'kerja' yang melambang masalah akal yang serius. Seorang pula membuat kenyataan tentang agama, tuhan dan pelbagai lagi yang juga melambangkan kedangkalan pengetahuan dan ketandusan kepercayaan terhadap konsep ketuhanan,"
katanya dalam catatan di laman Facebooknya.Sebelum ini, Asri mengkritik keras aksi terbaru Ibrahim yang 'memagar' Malaysia daripada ancaman negara asing, hususnya Korea Utara dengan menyifatkannya sebagai khurafat dan memalukan akal.
“Padahal perbuatannya itu merupakan kebodohan yang tiada bertebing,” katanya.Di tengah-tengah ketegangan hubungan Malaysia-Korea Utara, Ibrahim mengadakan upacara untuk “melindungi” Malaysia di tepi pantai dengan beliau dan pengikutnya menggunakan buluh kecil yang dijadikan teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh untuk upacara itu.
Siti Kassim pula dipetik beberapa media sebagai berkata, tuhan dihasilkan menerusi getaran selain membantah secara konsisten pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
Mengulas lanjut, Asri yang popular dengan gelaran Dr Maza menambah, kedua-dua individu tersebut telah menarik perhatian pihak media di negara ini dan membuang masa pembaca.
"Kedua-duanya telah dijadikan bahan berita yang menghabiskan masa masyarakat mengetahui dan membacanya," jelasnya.
Thanks for reading & sharing sila share artikel ini dengan klik button share di bawah suara marhean