Home » » Peringatan: Baca dengan hati lapang dan minda yang terbuka....Boikot McDonald's

Peringatan: Baca dengan hati lapang dan minda yang terbuka....Boikot McDonald's



Peringatan: Baca dengan hati lapang dan minda yang terbuka.

Boikot McDonald's ini bukan perkara yang asing di Malaysia. McDonald's pula sudah seakan-akan sinonim dengan regim Israel kerana setiap kali berlaku konflik di Palestin seperti serangan tentera Israel ke atas Gaza, McDonald's menjadi jenama utama pemboikotan rakyat Malaysia (bukan generalisasi).

Tulisan saya akan datang dalam beberapa siri dan bukan terhad kepada McDonald's sahaja. Dalam tulisan ini saya akan memfokuskan kepada McDonald's yang dikatakan penyumbang kepada kerajaan Israel dan seterusnya menyumbang kepada Israel Defense Forces yang membantai Gaza bukan sahaja baru-baru ini malah sudah berpuluh-puluh tahun lamanya sejak tahun 1948.

Mengapa McDonald's perlu diboikot? Setakat apa yang saya kumpul daripada internet, McDonald's patut diboikot kerana sebab-sebab di bawah:

McDonald's Corp adalah penyumbang dana kepada Jewish United Fund yang berpengkalan di Chicago.
Bekas CEO (dan Chairman) McDonald's Jack Greenberg seorang yahudi dan penyokong kuat Israel melalui beberapa badan komuniti yahudi di Chicago.
McDonald's mempunyai 180 buah restoran di Israel dan memberi peluang pekerjaan kepada 3,000 warga Israel.
Sumber: Inminds

Jewish United Fund dan Matching Gift Program *kemaskini

Sumber daripada internet yang saya boleh jumpa semuanya berkisar sebab-sebab di atas. Saya tak pasti jika ada alasan atau sebab lain mengapa McDonald's harus diboikot, jika ada saya harap ada yang akan memaklumkan kepada saya.

Berbalik kepada sebab-sebab di atas, untuk merungkai persoalan sumbangan dana kepada Israel seeloknya kita mengupas bagaimana McDonald's menyalurkan dana kepada JUF ini. Adakah McDonald's membayar sejumlah wang mengikut peratusan keuntungan mereka kepada JUF? Ataupun ada jumlah tetap dibayar kepada JUF?

Setakat pembedahan ke atas laporan tahunan McDonald's daripada tahun 2000 sehingga tahun lepas termasuk juga penyata kewangan yang telah diaudit tiada bukti jelas menunjukkan sumbangan kewangan McDonald's kepada JUF apatah lagi kepada Israel.

Yang hanya saya temui adalah di laman web JUF iaitu program Matching Gift iaitu sebuah program sumbangan atau derma kepada badan-badan yang mempromosi program pendidikan, kebudayaan, sivil, anak muda dan kesihatan.

Dan juga sumbangan McDonald's dalam bentuk geran kepada program bersekutu (affiliated program) dengan Spertus Institute for Jewish Learning and Leadership yang berjumlah $4,000 (sahaja) pada tahun 2012:


Sumber: Laporan Tahunan JUF 2013 m/s 18

Sumbangan geran $4,000 itu digunakan untuk general operating support bagi menjalankan program dibawah kelolaan Spertus Institute For Jewish Learning and Leadership (di Chicago, Illnois) berkenaan pendidikan, budaya dan kepimpinan Yahudi yang tiada kaitan terus dengan IDF di Israel. Sumbangan McDonald's Corp adalah sebahagian daripada $446,022 yang diterima oleh Spertus Institute daripada penyumbang yang lain.

JUF sememangnya mempunyai pertalian dengan Israel dan mereka juga menyokong IDF membantai Gaza di atas nama hak Israel untuk mempertahankan diri. Malah baru-baru ini JUF menganjurkan demonstrasi di Chicago sebagai tanda sokongan kepada IDF: Thousands of Chicagoans rally for Israel:



Dan jika kita membaca dengan lebih lanjut kita akan mengetahui bagaimana JUF menyalurkan wang sumbangan, untuk tujuan apa sumbangan itu disalurkan dan siapa yang menerima subangan tersebut: JUF: Where Your Money Goes?



Tiada siapa boleh menafikan sumbangan JUF kepada Israel dan kaum Yahudi di USA kerana ianya jelas dan disenarai di dalam laman web JUF. Cumanya, dalam banyak-banyak penerima bantuan kewangan yang disenaraikan, tiada langsung wang itu sampai kepada IDF: JUF Affiliates & Beneficiaries. Kecuali ada beberapa program pemulihan (rehabilitation) untuk bekas askar yang berkhidmat dalam IDF yang anda boleh jumpa jika anda membaca dengan lebih lanjut.

Apa yang saya cuba sampaikan adalah, susah untuk kita kaitkan sumbangan McDonald's kepada JUF yang sampai kepada mereka yang melakukan kezaliman di atas bumi Palestin tidak kira di Gaza atau di Tebing Barat. Sumbangan korporat kepada JUF dibuat mengikut program-program khusus untuk pendidikan, sosial, budaya dan tiada langsung untuk program ketenteraan.

Bagaimana pula program Matching Gift ini berfungsi? Jika pekerja sebuah syarikat ingin menyumbang kepada badan-badan seperti yang dinyatakan di atas, syarikat di mana pekerja itu bekerja akan turut menyumbang kepada badan tersebut dengan jumlah sumbangan yang sama dibuat oleh pekerja itu.

Contohnya: Seorang pekerja McDonald's berhasrat menderma $100 kepada Jewish United Fund (JUF). McDonald's iaitu majikan pekerja itu akan turut menyumbang $100 kepada JUF.

Dan program Matching Gift ini tidak terhad kepada JUF sahaja. Mana-mana badan yang berdaftar di bawah undang-undang US [Kod Hasil Pendapatan Seksyen 501 (c) (3)] boleh menerima sumbangan melalui program Matching Gift daripada McDonalds.

Progam Matching Gift ini bukanlah perkara baru. Banyak lagi syarikat korporat besar yang menjalankan program seperti ini sebagai salah satu daripada Corporate Social Responsibilty (CSR) dan juga salah satu cara mengurangkan bayaran cukai pendapatan kepada kerajaan US.

Antaranya termasuklah Apple Inc, Google Inc, Yum Brands (pemilik KFC, Pizza Hut dan Taco Bell), Toyota Motor Corp dan banyak lagi. Anda boleh menyemak syarikat yang mempunyai program Matching Gift dan membenarkan pekerja mereka menyumbang kepada JUF di laman web JUF sendiri di sini: JUF Donate-Matching Gift.

Dibawah saya sertakan Polisi Program Employee Matching Gifts oleh McDonald's


Source: McDonald's

Wajar juga diketahui bahawa program Matching Gift ini hanya ada di USA sahaja. Pekerja McDonald's di negara lain tidak boleh menyertai program ini.

Dan untuk pengetahuan anda McDonald's Corp dan kebanyakan syarikat korporat lain termasuk Apple Inc, Google Inc, Ban of America Corp juga tersenarai di bawah syarikat yang mempunyai program Employees Matching Gift untuk Islamic Relief USA. Anda boleh menyemak senarai tersebut seperti mana anda menyemak senarai tersebut di laman web JUF di sini: Matching Gift Program - Islamic Relief USA.

Islamic Relief USA juga adalah antara penyumbang terbesar kepada Palestin: Islamic Relief USA - Palestine

Pemilikan McDonald's Corp

Selain daripada Matching Gift ini tidak terdapat bukti jelas McDonald's menyalurkan bantuan kewangan kepada Israel. Seperti yang kita sedia maklum McDonald's adalah sebuah syarikat milik awam yang tersenarai di Bursa Saham New York (NYSE).

Syarikat Awam tertakluk kepada undang-undang yang ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) US di mana segala perbelanjaan perlu diaudit dan dilaporkan untuk tujuan percukaian dan sebagai tanggungjawab kepada pelabur awam.

Saya rasa tidak perlu diterangkan siapa pemilik McDonald's Corp kerana sebagai syarikat awam sudah tentulah McDonald's dimiliki beribu pelabur yang memiliki saham McDonald's. Antaranya adalah syarikat pelaburan, insitusi kewangan dan sebagainya yang boleh dirujuk di sini: Morningstar - McDonald's Major Shareholders.

Jack M. Greenberg

Seterusnya berkenaan bekas Pengerusi dan CEO Jack Greenberg yang juga penyokong kuat Israel. Di mana sumbangan beliau dan berapa sumbangan beliau juga masih menjadi tanda tanya. Jawatan beliau sebagai Pengarah Kehormat American-Israel Chamber of Commerce juga tidak dapat mengaitkan McDonald's ataupun sumbangan McDonald's kepada JUF.



Seperti gambar diatas yang dikatakan screenshot daripada laman web JUF yang sudah dipadam akibat boikot terhadap McDonald's. Jawapannya masih sama, sumbangan McDonald's kepada JUF hanya melalui Matching Gift Employee Programme. Banyak lagi corporate partners selain McDonald's yang menyumbang kepada JUF melalui program di atas yang boleh disemak di dalam laman web JUF dan McDonald's pada tahun kebelakangan ini bukan lagi Major Corporate Partners JUF.

McDonald's di Israel

McDonald's mempunyai 180 buah cawangan restoran di Israel dengan lebih 4,000 orang pekerja di mana 3,000 daripadanya adalah remaja.McDonald's Israel adalah syarikat persendirian yang dimiliki oleh Dr Omri Padan.

McDonald's selaku entiti berasaskan perniagaan membuka cawangan mereka di pelusuk dunia termasuklah Israel. Apa yang jarang atau tidak pernah diceritakan kepada kita McDonald's Israel mempunyai polisi iaitu tidak membuka cawangan di atas tanah rakyat Palestin.

Ini kerana mereka menghormati undang-undang antarabangsa yang tidak mengiktiraf penempatan atau perniagaan di atas Green Line atau sempadan yang ditetapkan sebelum Perang Arab-Israel 1967.

Anda juga perlu tahu bahawa warga Israel juga memboikot McDonald's atas sebab polisi tersebut kerana mereka menganggap McDonald's mendiskriminasi warga Israel yang duduk di atas penempatan haram di atas tanah  Palestin (Tebing Barat).

Pemilik McDonald's Israel Dr Omri Padan juga adalah salah seorang pengasas NGO Peace Now yang juga anti-penempatan haram di atas Tanah Palestin.

Dibawah adalah keratan berita warga Israel yang duduk di penempatan haram di atas tanah Palestin menyeru rakyat Israel memboikot McDonald's kerana polisi mereka yang tidak mahu membuka cawangan McDonald's di atas tanah penempatan haram:


Sumber: Jerusalem Post
Sumber-sumber lain panggilan boikot terhadap McDonald's oleh warga Israel di Tebing Barat; YNet, RT, Bloomberg Businessweek, Huffington Post dan banyak lagi yang lain jika anda rajin untuk Google.

McDonald's Malaysia

McDonald's Malaysia seperti yang kita semua sudah tahu dimiliki oleh Golden Arches Sdn Bhd yang juga dimiliki oleh McDonald's Corp melalui syarikat mereka seperti dibawah:


Golden Arches Sdn Bhd ini tidak dimiliki oleh anak tempatan atau mana-mana syarikat milik tempatan.



McDonald's Malaysia juga telah menjelaskan kedudukan mereka tentang serangan Israel ke atas Gaza, pemilikan francais, bayaran royalti kepada McDonald's Corp sebagai balasan menggunakan jenama McDonald's di dalam Berita Harian di sini: Berita Harian - McDonald's Malaysia.



Berapakah bayaran royalti yang dibayar kepada McDonald's Corp? Mengikut penyata kewangan Golden Arches Sdn Bhd yang sudah diaudit oleh firma audit Ernst & Young dibawah:



Sumber: Suruhanjaya Syarikat Malaysia



McDonald's Malaysia pada tahun 2012 mencatatkan hasil sebanyak RM1.19 bilion , dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM162 juta dan keuntungan bersih selepas cukai RM113 juta. Ini bermakna cukai pendapatan yang dibayar McDonald's Malaysia kepada kerajaan adalah sebanyak lebih kurang RM50 juta.

Bayaran royalti kepada McDonald's Corp di USA adalah sebanyak 5% daripada jumlah jualan kasar, disini dengan menganggap semua hasil McDonald's adalah daripada jualan di restoran sebanyak RM1.19 bilion di atas (McDonald's juga mempunyai perniagaan iaitu perniagaan hartanah dan syarikat pencuci) jumlah royalti yang dibayar adalah lebih kurang RM60 juta atau US$20 million.

Daripada hasil McDonald's Corp yang lebih daripada US$28 bilion pada tahun 2013, berapakah jumlah peratusan sumbangan McDonald's Malaysia sebanyak US$20 million tersebut? Ya lebih kurang 0.07% sahaja daripada hasil besar McDonald's Corp yang datang dari seluruh restoran milik mereka dalam dunia.

Sumber: McDonald's Annual Report m/s 26
Pada pendapat anda adakah $20 million ini sampai ke Israel (sebenarnya JUF) walaupun seperti yang diterangkan di atas Matching Gift programme hanya terhad kepada MCDonald's US sahaja? Cuba fikir dan kenang sejenak.

Tidak perlu saya sentuh sumbangan McDonald's Malaysia kepada peluang pekerjaan, peluang perniagaan, cukai dan sebagainya kepada Malaysia. Saya yakin rakyat Malaysia lebih bijak menilai.

Harga saham McDonald's Corp yang dikatakan menjunam kebelakangan ini juga adalah disebabkan faktor lain seperti skandal daging tercemar di China, kemungkinan penutupan cawangan McDonald's di Russia akibat krisis geopolitik yang menyebabkan sekatan ekonomi ke atas Russia oleh USA dan juga kejatuhan jualan McDonald's di USA akibat daripada persaingan restoran lain seperti KFC, Burger King, Wendy's, Chipotle, Subway dan lain-lain.

Malah kejatuhan jualan McDonald's USA juga sudah diramal sejak tahun 2010 jauh sebelum serangan ke atas Gaza dilancarkan. Sukar untuk mengaitkan kejatuhan jualan di US dengan aktiviti boikot.

Mengapa McDonald's Tidak Menyaman?

Anda ingat kempen Jamie Oliver terhadap makanan McDonald's yang dikatakan tidak selamat dimakan? Saya tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut kerana tidak mahu dituduh sebagai mencari alasan untuk menyokong McDonald's. Anda boleh buat carian di internet. Jamie Oliver tidak pernah disaman McDonald's, mengapa mereka hendak menyaman Inmind's? Ya fakta Inminds itu betul tetapi tidak melambangkan perincian penyaluran dana kepada JUF dan Israel atau IDF.

Adab Memboikot

Memboikot tujuan utamanya adalah untuk memberi tekanan kepada syarikat korporat yang membantu Israel dari segi kewangan dan juga kepakaran dalam bidang ketenteraan. Boikot bukan lah untuk melingkupkan perniagaan sesiapa apatah lagi yang melibatkan rezeki halal warganegara kita sendiri.

Tidak perlulah dihina atau dicaci mereka yang bekerja di McDonald's juga yang masih terus membeli dan makan di McDonald's. Bagi saya dan orang lain tiada bukti jelas di mana McDonald's menyalurkan sumbangan kewangan kepada Israel (JUF adalah) apatah lagi sumbangan kepada tentera Israel yang membantai Gaza sejak bulan lepas.

Jika ada sesiapa boleh membuktikan saluran dana kepada Israel oleh McDonald's Malaysia mahupun McDonald's Corp (selain daripada Matching Gift kepada JUF), saya alu-alukan untuk meninggalkan komen di ruangan komen di bawah.

Tulisan saya tidak akan tamat di sini, seterusnya saya akan menyentuh syarikat korporat yang betul-betul menyumbang kepada Israel melalui pembangunan senjata, perisian pertahanan kepada IDF dan banyak lagi.

Saya harap ramai akan berlapang hati dengan tulisan saya, jika anda berasa McDonald's wajib diboikot itu adalah hak anda dan tiada siapa boleh nafikan hak itu. Dan jika ada orang lain rasa tak perlu boikot McDonald's mereka juga ada hak mereka dan anda juga tidak patut menafikan hak mereka.

Tiada siapa yang waras fikirannya tidak akan sedih dan marah melihat kekejaman tentera Israel yang membunuh penduduk Gaza terutamanya kanak-kanak yang tidak berdosa. Saluran kemarahan anda juga eloklah disalurkan kepada mereka yang benar-benar membantu Israel dari segi ketenteraan, pelanggaran undang-undang antarabangsa dengan menduduki tanah Palestin dan lain-lain.

Pada pendapat saya segala jenis makanan segera seperti McDonald's adalah tidak sihat. Elok juga kalau kekerapan ke McDonald's dan restoran makanan segera lain dikurangkan atau dihentikan sama sekali.

Cuba elakkan memalukan mereka yang tidak memboikot McDonald's dan beradablah dalam memboikot. Jangan merosakkan harta persendirian dan menganggu-gugat ketenteraman awam. Sedang kita mengutuk kekejaman zionis di Gaza, jangan pula kita lupa untuk buang sifat-sifat persis zionis di dalam diri kita.


http://friscomedia.blogspot.com



>

https://www.facebook.com/Dmanx316/photos/a.208731059604340.1073741828.208694619607984/234504820360297/?type=3&theater


Thanks for reading & sharing sila share artikel ini dengan klik button share di bawah suara marhean

Previous
« Prev Post

Popular Posts