Keadaan pelajar madrasah tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dikatakan masih kritikal dengan tangannya yang dijangkiti kuman masih belum pulih.
Ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad berkata tangan kanan tersebut masih dalam keadaan hitam dari jari hingga ke bawah siku dan berkemungkinan terpaksa dipotong jika keadaan semakin membimbangkan.
"Tangan terbabit sebelum ini sudah dibedah bagi mengeluarkan darah beku.
“Pihak doktor kini sedang memantau keadaan sehingga 8 malam ini dan sekiranya keadaan masih belum pulih, tangan tersebut terpaksa dipotong dari jari ke bawah siku demi menyelamatkan nyawa Mohamad Thaqif Amin," katanya kepada pemberita selepas kunjungan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris ke atas pelajar tersebut hari ini.
Dzuraidah berkata mereka sekeluarga berserah kepada Allah SWT dan tidak putus berdoa selain mengharapkan keajaiban supaya tangan kanan Mohamad Thaqif Amin kembali pulih memandangkang pihak hospital melakukan sedaya upaya bagi menyelamatkannya.
Menurutnya, doktor turut memantau bahu kiri pelajar terbabit yang turut ditemukan darah beku.
"Doktor sudah memberikan ubat cair darah pada bahu kirinya manakala buah pinggang, jantung dan tekanan darah Mohamad Thaqif Amin dalam keadaan baik.
"Mohamad Thaqif Amin kini diberikan ubat tidur kerana semalam dia ada meronta seketika dan cuba mencabut saluran tiub yang dipakaikan kepadanya," kata Dzuraidah.
Mengenai kunjungan Raja Zarith Sofia, beliau yang mewakili anggota keluarganya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan baginda yang berkenan meluangkan masa melawat Mohamad Thaqif Amin.
Katanya mereka sekeluarga dimaklumkan mengenai lawatan terbabit pada tengah malam tadi.
Kes Mohamad Thaqif Amin menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden.
Mohamad Thaqif Amin kemudian terpaksa dipotong kedua kakinya kerana mahu mengelakkan jangkitan kuman ke atas tubuh badannya.
Pembantu warden lelaki berumur 29 tahun berkenaan pula kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan terhadap kes tersebut.
- Bernama
Thanks for reading & sharing sila share artikel ini dengan klik button share di bawah suara marhean